Ini adalah biodata aku yang selalu dihantar kepada penerbitan (bila diminta oleh editor agar disertakan bersama karya). Aku poskan di sini supaya senang untuk diemailkan kemudian kepada sesiapa yang berkehendaki. Gambar pun gambar paspot yang aku selalu kepil dgn biodata.
UPDATED: June 2008
-------------------------------------------------------------------------
BIODATA Saharil Hasrin Sanin

Saharil Hasrin Sanin berasal dari Pontian, Johor.
Mula menulis sejak bersekolah di Sekolah Alam Shah, cerpen pertama beliau diterbitkan oleh Majalah Dewan Siswa pada tahun 1991 dan memenangi Hadiah Sastera Siswa pada tahun tersebut.
Pada tahun berikutnya, beliau telah dipilih menyertai program Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran DBP. Selepas itu beliau mendapat tajaan melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan industri di United Kingdom dan menamatkan pengajian pada tahun 1998.
Karya-karya dan tulisan pojok beliau banyak terbit dalam pelbagai akhbar dan majalah seperti Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Majalah Siasah, Majalah Dewan Budaya, Majalah Perempuan, URTV , Eh!, dan InTrend. Beliau juga menulis artikel berbentuk saintifik untuk Majalah Dewan Kosmik dan Dewan Siswa.
Novel "Luka Seribu Hari" telah disirikan dalam Majalah Wanita sepanjang tahun 2006 dan kini sedang disiapkan agar boleh dibukukan. Mulai Januari tahun 2007, novel terbaru beliau "Fashionista" disirikan dalam majalah EH!
Selain memenangi Hadiah Sastera Siswa 1991, beliau juga telah memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam dua kali berturut-turut, pada 2001 dan 2005 (kategori cerpen, tajuk: "Dunia Badang (1.0)", dan "Ops Akliah"), dan Hadiah Sastera Darul Takzim 2003 (kategori cerpen, tajuk: "Dunia Badang (2.0)").
Beliau juga telah memenangi tempat pertama (kategori dewasa) Sayembara Cereka Sains anjuran Karyanet dan DBP untuk cerpen tulisan beliau "Sepuluh Sayap Untuk Aceh" pada tahun 2006 dan diterbitkan di dalam Dewan Sastera pada tahun berikutnya. Pada tahun 2007, cerpen beliau "Cinta Antara Api Al-Quds" yang diterbitkan dalam majalah NUR telah memenangi hadiah Sastera Darul Takzim.
Banyak karya beliau (terutamanya cerpen) telah diterbitkan dalam pelbagai antologi buku. Beliau juga pernah dijemput untuk menjadi panel di dalam beberapa perjumpaan Minggu Penulis Remaja anjuran DBP. Juga, beberapa tahun lepas, beliau telah menerbitkan antologi Lagi Cerpen-Cerpen Underground bersama Faisal Tehrani. Pada bulan Jun 2003, beliau telah dijemput oleh DBP untuk membentangkan kertas kerja pendek tentang antologi tersebut di Perkampungan Penulis Muda di Kuching. Kertas kerja itu kemudiannya disirikan di dalam Mingguan Malaysia.
Pada awal tahun 2008, "Radio Gaga", skrip telefilem beliau yang ditulis bersama Nizam Zakaria telah diterbitkan dan ditayangkan di saluran televisyen RTM1. Selepas itu, Buku "New Malaysian Essays 1" yang ditulis oleh beliau bersama 5 orang penulis lain telah diterbitkan oleh Matahari Books. Buku tersebut kemudiannya menduduki tangga kedua dalam senarai Top 10 dalam bestseller list di toko MPH. Blog beliau di saharil.com juga memenangi Anugerah Bloger Terhebat anjuran Gengjurnal pada awal tahun dan diberi pendedahan di dalam Akhbar Kosmo.
Selain itu, beliau juga sering membekalkan ilustrasi dan rekabentuk seperti logo dan brosur kepada beberapa penerbitan dan syarikat. Ilustrasi beliau pernah diterbitkan dalam majalah KLIA Times, tell Magazine dan KLue. Beliau turut menyumbang logo dan poster untuk KL Alternative Bookfest dan kulit buku untuk antologi MPR. Dari 29 Mei hingga 15 Jun 2008, beliau juga menyertai pameran seni Out of Line di galeri Central Market Annexe, kesemua karya beliau telah habis dijual pada hari pertama pameran.
Sekarang ini beliau sedang bertugas dan menetap di pinggir Kuala Lumpur.