♥Ku Mensyukuri Nikmat KurniaanMu ya Ilahi... Kerana memberi kesempatan bagiku untuk bernafas pada dunia maya pinjamanMu ini. Kemerdekaan ke-48 ini membawa diriku jauh... mencari RedhaMu, mendamba Kasih padaMu nun di atas gunung yang dingin bertemankan anak-anak buah sahabatku, Sue....Adik-adik ini masih kecil tapi cukup memahami jiwa kemerdekaan. Datangnya mereka ke gunung peranginan yang dingin ini bukannya hendak melihat keghairahan manusia membakar wang ringgit yakni Bunga Api yang bertebaran megah di angkasa raya pada malam Kemerdekaan itu. Hadirnya mereka dibawa oleh ibubapa mereka untuk melahirkan kesyukuran dan merasai kesentosaan setelah 48 tahun kita merdeka. Pada mulanya... Akulah insan yang terpaksa menolak pelawaan sahabatku untuk bercuti bersama kakak2nya (seramai 3 buah keluarga) di gunung peranginan itu dengan baik. Tetapi apabila mengenangkan peluang hanya datang sekali dan tidak harus dipersiakan.. Aku telah mengambil keputusan untuk turut serta. Kalau ikutkan kerja ku masih banyak dan terbengkalai di pejabat, namun kerja.. sampai bila pun takkan habis.... Sekali sekala ku manjakan diri untuk merehatkan minda di kawasan peranginan yang ulung itu di samping berdarmawisata mengenangkan perjuangan orang terdahulu untuk memerdekakan negara ini dari jajahan bangsa asing. Ku hirup udara segar yang mana keadaan keliling yang diliputi kabus dan kabut. Dingin malam dan suasana yang sepi itu membuatkan aku bermunajat dan bersyukur pada Al-Khaliq kerana malam itu kuhabiskan dengan begitu aman... Tiada bunyi letupan bom... tiada bunyi tembakan serta peluru yang berkeliaran.
Sedangkan penduduk negara lain sedang sibuk berjuang mempertahankan negara sendiri... Pertumpahan darah berlaku sewenang-wenangnya. Janganlah sesekali kita alpa dan lagha. Sayangilah diri... Kasihilah Agama dan Cintailah Negara. Harapanku semoga Negara Malaysia ini akan terus maju jaya serta aman dan sentosa. Insya Allah.