
'Mukjizat' Punk
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Maiamalina Mohamed Amin | am@hmetro.com.my
Pengikut Punk tiada Tuhan, ada 'mukjizat': Tunjuk kuasa ajaib tawar cinta murahan kepada gadis lepasan sekolah
KUALA LUMPUR: Karut dan syirik! Itulah pegangan segelintir pengikut Punk di negara ini kononnya setiap ahli kumpulan itu mempunyai 'mukjizat' yang boleh menguasai elemen tanah, air, api dan angin bagi melindungi ancaman orang luar
Ahli kumpulan itu yang nyata sesat menafikan kewujudan Tuhan selain menolak Rukun Iman kelima, iaitu kepercayaan kepada hari kiamat.
Pendedahan pegangan kumpulan itu dibuat seorang remaja yang pernah menjadi pengikut Punk selama tiga tahun.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Sarah, 19, kini sudah kembali kepada ajaran Islam.
Menceritakan pengalamannya ketika bersama kumpulan itu, Sarah memberitahu Harian Metro, kepercayaan karut itu tersebar di kalangan pengikut kumpulan berkenaan dan berbeza mengikut identiti, pakaian dan peragaan rambut setiap ahli.
"Kumpulan Punk Anarki yang saya sertai percaya kami mempunyai kuasa 'super' yang tidak diberikan kepada orang biasa.
"Malah, saya pernah diperdaya apabila teman lelaki menunjukkan kuasa angin dimilikinya ketika kami berada di rumahnya di Kajang.
"Ketika itu, seorang lelaki Nepal cuba mengusik saya di luar rumah yang menjadi tempat kami berkumpul. Teman lelaki saya yang geram kemudian menunjukkan jari sebelum tiba-tiba angin kencang datang entah dari mana," katanya ketika ditemui di Rumah Sahabat, Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (Perkid) di Hulu Langat, dekat sini, semalam.
Katanya, kejadian itu menyebabkan lelaki Nepal terbabit lari sejurus mendapati tiang ampaian rumah berkenaan tiba-tiba tercabut.
"Sejak itu saya percaya kami anggota Punk mempunyai kuasa tertentu, malah saya sendiri yakin dikurniakan kuasa api," katanya.
Sarah menceritakan, anggota Punk remaja lelaki turut aktif menawarkan cinta murahan, terutama terhadap golongan gadis sekolah yang mudah dipikat sebelum jadi alat pemuas nafsu.
Gadis belasan tahun tidak sekadar dipengaruhi ideologi antiketuhanan oleh kumpulan punk tetapi dijaja kehormatan diri tanpa rasa malu.
"Kebanyakan gadis yang berjaya ditundukkan akan diajar oleh mentor supaya menyerahkan tubuh kepada ahli Punk pada bila-bila masa.
"Mereka dididik berpakaian Punk, bergaul bebas sesama ahli selain berpeleseran dengan melakukan gejala tidak senonoh, termasuk menjamah sampah bagi membuktikan kepatuhan sebagai ahli punk," katanya.
Kata Sarah, walaupun agak mengerikan apabila 'dirogol' sekumpulan lelaki dalam satu masa, gadis Punk terpaksa akur dan tunduk kerana ia sebahagian syarat menjadi ahli Punk sejati.
Ketika mula-mula menyertai punk, dia bersyukur tidak 'dikendurikan' kerana dirinya sudah menjadi kekasih seorang anggota senior kumpulan Punk Anarki yang disertainya.
"Memang bersyukur kerana tidak dijadikan seperti itu," katanya yang mengenali kumpulan itu ketika berusia 16 tahun selepas lari dari sekolah berasrama di Negeri Sembilan.
Menurutnya, ahli Punk daripada kumpulan Nazi, Anarki dan kumpulan lain tidak percayakan agama.
Rakannya yang juga bekas ahli Punk dikenali sebagai Ziela, 18, mendedahkan falsafah hidup setiap ahli punk, iaitu 'Punk not die' bukan kata-kata biasa kerana ia jiwa dan semangat setiap ahli.
Sementara itu, Pengerusi Perkid, Masridzi Sat berkata, Punk adalah yang kumpulan mengamalkan kegiatan terancang untuk memesongkan akidah seseorang, terutama remaja Islam melalui hiburan muzik yang mengandungi lirik memuja syaitan.
Menurutnya, mesej yang diserapkan ialah antiketuhanan atau menolak kewujudan Tuhan selain pengamalan seks rambang dan keganasan.
"Ibu bapa dan umat Islam perlu menyedari bahaya gejala punk yang bukan hanya boleh meruntuhkan bangsa, malah agama dan iman seseorang terutama remaja Islam yang mudah dipengaruhi.
"Mereka perlu mengawal pergerakan anak dan mengetahui sebarang kegiatan dilakukan," katanya.
Mati dalam kekufuran
Oleh Helmy Abd Rahman dan Wan Noriza Meor Idris
KUALA LUMPUR: Orang Islam yang menerap serta mengamalkan ideologi berunsur antiketuhanan dalam kehidupan seharian, secara langsung dianggap keluar daripada agama dan perlu segera bertaubat
Tokoh agama, Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz, ketika mengulas perbuatan segelintir pengikut Punk yang menafikan kewujudan Tuhan serta kononnya mempunyai mukjizat, berkata golongan berkenaan perlu kembali ke pangkal jalan dan bertaubat dengan bersungguh-sungguh kerana perbuatan mereka jauh menyimpang daripada ajaran Islam.
"Jika sampai peringkat menafikan kewujudan Tuhan, sudah dikira murtad dan sekiranya tidak sempat bertaubat, mereka akan mati dalam kekufuran.
"Umat Islam tidak sepatutnya berpegang kepada perkara bersifat khurafat dan tahyul untuk dijadikan landasan hidup kerana boleh memesongkan akidah," katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, orang Islam khususnya golongan remaja tidak sepatutnya cepat terpengaruh dengan ajakan rakan menganggotai kumpulan tertentu yang mungkin boleh menyesatkan.
Sehubungan itu, Abu Hasan menasihatkan ibu bapa supaya mengambil peranan mengawasi tindak tanduk anak mereka dan berpegang teguh kepada ajaran Islam.
"Ibu bapa sepatutnya tahu kegiatan anak mereka seperti dengan siapa mereka berkawan dan sebagainya supaya dapat mengelak anak yang masih mentah fikiran ini daripada terjerumus ke dalam aktiviti tidak sihat dan saya berharap, kepada yang sudah tersesat supaya kembali kepada Islam," katanya.
Harian Metro semalam melaporkan mengenai pegangan segelintir pengikut Punk di negara ini kononnya setiap ahli kumpulan itu mempunyai 'mukjizat' yang boleh menguasai elemen tanah, air, api dan angin bagi melindungi ancaman luar.
Difahamkan, ahli kumpulan itu turut menafikan kewujudan Tuhan selain menolak Rukun Iman kelima, iaitu kepercayaan kepada hari kiamat.
Pendedahan pegangan karut dan syirik itu dibuat seorang remaja perempuan yang pernah menjadi pengikut Punk selama tiga tahun dan kini sudah kembali kepada ajaran Islam.
Mengulas isu sama, Mufti Johor, Datuk Nooh Gadut menasihatkan kumpulan terbabit segera bertaubat dengan mengucap dua kalimah syahadah.
"Mereka adalah kumpulan yang tersesat jauh. Mati dalam keadaan sesat serta perlu bertaubat dengan mengucap dua kalimah syahadah.
Nooh berkata, mukjizat hanya dianugerahkan kepada nabi dan rasul oleh Allah swt bagi membuktikan kebenaran Islam.
"Jika mereka mengaku mempunyai mukjizat atau kuasa yang boleh melumpuhkan ancaman luar, itu bohong.
"Ini kerana mukjizat hanya dianugerahkan kepada golongan anbia, bukan kepada umat biasa, jelas terbukti pegangan akidah, syariah dan akhlak sudah lesap dalam diri mereka," katanya.
Harian Metro - Sun 23 April 2006
Beware! THey drink alcohol, while singing and dancing! Dangerous subversives!
Kemaruk ahli baru
JOHOR BAHRU: "Perhatian!!! Difahamkan kepada semua kawan2 yg mempunyai T'shit Kadal dalam jangka masa ini untuk tidak memakai T-shit tersebut dan membawa kad anggota dikarnakan ada problem gawat di luar. Tank's".
Peringatan di atas yang ditulis pada sekeping kertas oleh individu tertentu dan dilekatkan di satu sudut sebuah kilang di Tampoi itu ditemui pihak berkuasa, empat hari lalu.
Difahamkan, lebih 20 ahli kumpulan Kadal bekerja di kilang yang beroperasi 24 jam sehari dan menggaji ramai pekerja asing termasuk warga Indonesia itu.
Perkataan kad anggota yang tertera pada peringatan berkenaan jelas menunjukkan kumpulan Kadal memiliki oraganisasi agak tersusun dan dipercayai giat berusaha untuk mengembangkan keahlian mereka.
Dipercayai, peringatan itu dikeluarkan selepas pihak berkuasa mengadakan operasi bersepadu dan menahan beberapa orang ahli kumpulan Kadal di Batu 5, Tampoi, Ahad lalu.
Biarpun maklumat awal mengesahkan setiap pengikut kumpulan itu tidak melakukan sumpah taat setia sebelum dibenarkan menjadi ahli, kemungkinan tindakan itu berlaku tidak boleh diketepikan.
Sumber berkata, ketaksuban dan kesetiaan kepada kumpulan masing-masing amat ketara sehingga beberapa kumpulan itu sanggup bergaduh sesama sendiri untuk menguasai kawasan perhimpunan mereka.
"Kebiasaannya ahli kumpulan itu meminum arak sambil menyanyi dan menari beramai-ramai dengan diiringi petikan gitar dalam perhimpunan setiap hujung minggu di bandar raya ini.
"Setiap kumpulan memiliki pemain gitar sendiri dan kebiasaanya terdapat kira-kira tujuh pemain gitar di setiap perhimpunan kumpulan itu," katanya.
Menurut sumber itu, ahli kumpulan Kadal cuba mengaburi orang ramai dengan memasukkan minuman keras itu ke dalam botol minuman biasa dan meminumnya sambil berhibur sehingga seolah-olah dirasuk.
"Bagaimanapun, akibat pengaruh alkohol, kelakuan mereka bertukar menjadi ganas dan tidak terkawal termasuk bergaduh sesama sendiri.
"Keadaan menjadi tidak terkawal apabila pergaduhan tercetus di sana sini. Malah, dalam pergaduhan sesama sendiri itu, ada pengikut yang kelihatan handal atau 'ada isi di dada' masing-masing," katanya.
Menurutnya, pergaduhan dan keadaan tidak terkawal itu menyebabkan orang ramai yang melalui kawasan berhampiran lokasi perhimpunan itu untuk menuju ke perhentian bas, semakin bimbang menggunakan laluan itu.
Bagaimanapun, sumber itu berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti maksud logo setiap kumpulan ala Black Metal itu sama ada ia berkaitan dengan keganasan atau pemujaan.
Selain itu, katanya, siasatan masih diteruskan mengenai cara menyertai kumpulan berkenaan, penyebaran atau perkembangannya serta sama ada ahli baru perlu melakukan aku janji atau sebaliknya.
Pemilik premis hiburan didakwa
19hb Januari 2006
KUALA LUMPUR: Seorang pereka grafik juga pemilik premis hiburan yang dijadikan tempat sambutan Tahun Baru kumpulan Black Metal pada 31 Disember lalu, didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mengikut Akta Hiburan.
Wong Der Woei, 36, tidak mengaku bersalah atas dua tuduhan kerana menjalankan perniagaan dan menggunakan premisnya, Paul's Place, di Jalan 2/137B off Jalan Klang Lama, dekat sini, sebagai tempat hiburan, tanpa lesen Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Dia juga tidak mengaku bersalah menggantung papan tanda iklan, selain menggunakan premis itu sebagai perniagaan untuk menjual minuman keras tanpa lesen.
Wong didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10.10 malam 31 Disember 2005.
Bagi dua tuduhan pertama, Wong menghadapi denda maksimum RM50,000 jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 4(2) Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992.
Wong juga boleh didenda RM2,000 jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 5(1) Undang-Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1982 manakala bagi tuduhan akhir mengikut Seksyen 32(1) Akta Eksais 1976 dia menghadapi denda RM5,000.
Majistret Normazaida Ahmad Narihan membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,200 dengan seorang penjamin dan menetapkan perbicaraan pada 31 Julai depan.
Terdahulu Pegawai Pendakwa Cif Inspektor A Vasu memohon jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi tiga tuduhan pertama, serta RM2,000 bagi tuduhan terakhir.
Vasu berkata, mahkamah perlu mengambil kira keadaan dan fakta kes dalam menentukan jumlah jaminan yang wajar untuk tertuduh.
Berikutan itu, katanya, jumlah dimohon wajar kerana tertuduh menghadapi empat tuduhan.
Bagaimanapun, peguam bela Amer Hamzah Arshad meminta mahkamah mengurangkan jumlah itu.
"Kesalahan itu tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kerugian. Kes itu tidak sepatutnya disamakan dengan kes curi atau dadah kerana hukuman yang dihadapinya hanya denda dan bukannya penjara," katanya.
BHarian 3 Jan 2006
Remaja tak mengaku Black Metal
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
Kumpulan dakwa amal muzik bebas, kecewa tindakan polis
KUALA LUMPUR: Sekumpulan remaja yang ditahan polis malam tahun baru di Paul's Place, Jalan Klang Lama, di sini, menafikan mereka adalah pengikut Black Metal.
Dalam satu sidang media yang diadakan semalam, kumpulan itu mendakwa mereka adalah pengamal muzik bebas dan tiada kena mengena dengan kumpulan Black Metal.
Lebih 100 pengamal muzik bebas yang turut ditahan pada malam itu hadir untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap pihak berkuasa dan media yang didakwa melapor tanpa usul periksa.
Wakil kumpulan, Mohd Iskandar Zulkarnain (gambar) daripada First Stance Recordings berkata, pada malam itu 11 kumpulan dijadualkan mengadakan persembahan dan semuanya bukan kumpulan Black Metal.
"Hanya dengan cara ini saja dapat kami membersihkan nama pengamal muzik bebas. Kami sentiasa mengamalkan cara hidup positif. Kami tidak berada di bawah pengaruh dadah mahupun alkohol pada malam itu.
"Daripada 380 orang yang ditahan, hanya lapan orang yang dikatakan positif dadah. Maknanya seramai 372 yang lain bebas daripada gejala negatif.
"Mengapa kami dituduh melakukan perkara yang tidak baik? Kami juga tidak melakukan seks bebas.
"Selain mereka yang berada di Paul's Place, orang yang melalui kawasan kaki lima dan pelanggan yang sedang makan di kedai mamak di bawah turut ditahan tanpa usul periksa," kata Iskandar.
Dakwaan itu diperkukuhkan lagi dengan laporan polis dibuat warga Singapura yang dikatakan sedang menikmati makan malam bersama suami dan rakannya di gerai berhampiran.
Laporan itu dibaca seorang peguam, Amer Hamzah Arshad yang turut hadir pada sidang media berkenaan. Tanpa soal siasat wanita itu turut diangkut ke Balai Polis Brickfields.
BHarian 5 Jan 2006
Lapan hadir konsert positif dadah
KUALA LUMPUR: Lapan daripada 380 remaja yang ditahan kerana didakwa menghadiri konsert haram Black Metal di Batu 5, Jalan Klang Lama, di sini, Sabtu lalu, disahkan positif dadah manakala bakinya dibebaskan kelmarin selepas diambil keterangan.
Polis turut menahan reman lima hari lima lelaki tempatan dipercayai pekerja tempat konsert dan beberapa individu yang terbabit dalam penganjuran konsert berkenaan.
Selain itu, lapan warga asing termasuk enam warga Singapura dan dua Jepun yang dikatakan datang ke sini untuk menyambut tahun baru bersama rakan juga dibebaskan selepas hampir lapan jam ditahan untuk siasatan dan ujian dadah.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Mohd Dzuraidi Ibrahim, berkata seorang lelaki dipercayai pemilik tempat itu disiasat mengikut Seksyen 41B Akta Hiburan kerana menjalankan aktiviti tanpa lesen dan memiliki bahan cetak yang dilarang.
Katanya, empat lagi lelaki disiasat mengikut Akta Mesin Cetak kerana memiliki bahan cetak rompak yang dilarang.
"Mereka direman mulai kelmarin dan semua remaja lain dibebaskan selepas diambil keterangan. Kita akan terus pantau aktiviti haram seperti itu kerana ia akan menjejaskan moral remaja," katanya semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 11 malam menjelang sambutan tahun baru, polis menahan 310 remaja lelaki dan 70 wanita termasuk lapan warga asing kerana menghadiri konsert haram berkenaan.
Polis merampas pelbagai risalah, majalah, logo, kain rentang, kaset dan cakera padat (CD) berunsurkan elemen black metal. Penganjur konsert itu dikatakan mengenakan tiket RM15 seorang dan menjual pelbagai baju T yang dicetak dengan gambar kumpulan muzik 'bawah tanah'.
Mohd Dzuraidi berkata, walaupun kebanyakan remaja yang ditahan itu tidak mengaku mereka pengikut Black Metal sebaliknya mendakwa sebagai peminat muzik heavy dan kumpulan bawah tanah, tetapi polis mendapati banyak unsur yang merosakkan moral di dalam konsert itu.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan penganjur konsert itu adalah individu sama yang menganjurkan konsert Black Metal di Negeri Sembilan tetapi dibatalkan selepas diserbu polis akhir tahun lalu.
Sementara itu, dalam sidang media di sini semalam, pemilik tempat itu, Paul Millot, menafikan konsert berkenaan diadakan untuk pengikut Black Metal, sebaliknya ia adalah konsert tertutup atau 'gigs' yang diadakan di kawasan milik persendirian sempena sambutan tahun baru.
"Kawasan itu adalah tempat persendirian, hanya orang tertentu yang berkumpul di sini untuk meraikan tahun baru. Bagi yang datang untuk minum, mereka berkumpul di kafe, tingkat bawah bangunan. Kami juga sediakan ruang untuk mendengar muzik di tingkat atas.
"Mengenai kotak minuman keras yang dijumpai di situ, ia adalah milik saya, bukan untuk pelanggan," katanya.
Peguamnya, Amer Hamzah Arshad berkata, pihaknya sedang mengkaji kemungkinan mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang terbabit kerana program itu dijalankan di kawasan persendirian.
30 remaja berkumpul bantah laporan media
15hb Januari 2006
KUALA LUMPUR: Sekumpulan 30 remaja berkumpul hampir 45 minit di hadapan Balai Berita The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), di Jalan Riong, di sini, malam tadi bagi menyuarakan rasa tidak puas hati dengan ketidakadilan media.
Kumpulan remaja berkenaan yang kebanyakannya berpakaian serba gelap menyalakan lilin sambil memegang poster dan menyuarakan bantahan terutama terhadap laporan media yang dikatakan sering tidak adil dan suka membuat kesimpulan melulu terutama berhubung isu 'Black Metal'.
Turut sama adalah seorang lelaki dan wanita dipercayai berbangsa Eropah
Jurucakap kumpulan terbabit yang enggan disiarkan namanya, berkata perhimpunan hanya sekadar menyuarakan rasa tidak puas hati dengan laporan media selain kepupusan kebenaran dalam diri pengamal media.
Kumpulan remaja terbabit turut mempersoalkan isu penahanan sekumpulan remaja pada malam tahun baru lalu, serta laporan media yang seolah-olah menghukum mereka sebagai rosak akhlak dan menggunakan isu berkenaan untuk melariskan jualan akhbar.
Difahamkan, kumpulan berkenaan adalah antara 388 remaja yang ditahan di Paul's Place, Jalan Klang Lama, kerana menyertai konsert haram sempena sambutan tahun baru.
Bagaimanapun kumpulan remaja berkenaan yang berada di situ sejak jam sembilan malam bersurai selepas anggota polis tiba.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Mohd Dzuraidi Ibrahim, berkata pihaknya menghantar anggota untuk memantau keadaan.
Cubaan fitnah anak Felda fitnah
JOHOR BAHRU: Fitnah, itulah kesimpulan yang dapat diberikan membabitkan poster sebuah konsert atau gig kumpulan punk yang mendakwa ia membabitkan belia atau anak peneroka Felda di negeri ini yang dijadualkan kelmarin
Setiausaha Majlis Belia Negeri Johor, Marozab Ahmad berkata, walaupun diberitahu gig itu dibatalkan, pihaknya menjalankan siasatan dan mendapati tiada tempat 'jamming' yang merancang mengadakan gig punk itu.
"Kami bekerjasama dengan polis dan hasil pemerhatian serta siasatan mendapati, poster itu tidak berasas dan tidak wujud kumpulan punk dari kalangan anak Felda di negeri ini.
"Wakil kami (Felda Sungai Sayong) serta beberapa wakil dari Felda yang disebut dalam poster itu, pergi ke Taman Universiti bagi melihat sendiri tempat 'jamming' itu, malangnya ia tidak wujud.
"Selama dua hari (Jumaat dan Sabtu) mereka cuba mencari tempat berkenaan tetapi gagal ditemui.
"Malah, kami meminta bantuan polis bagi mendapatkan maklumat lengkap namun diberitahu, tiada kegiatan seumpama itu," katanya.
Berikutan itu, katanya pihaknya menganggap perkara itu fitnah dan langkah pihak tidak bertanggungjawab menjatuhkan nama baik peneroka dan anak Felda di Johor.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan, berkata hasil daripada laporan akhbar pihaknya membuat pemerhatian di kawasan sekitar Taman Universiti.
"Hasil siasatan kami mendapati, terdapat dua tempat 'jamming' di taman itu yang kedua-duanya tidak menjalankan aktiviti membabitkan kumpulan punk.
"Bangunan yang dijadikan tempat 'jamming' itu ialah rumah kedai dan ia hanya boleh memuatkan kira-kira 20 orang pada satu-satu masa, jadi agak mustahil untuk mengadakan konsert atau gig seperti yang dilaporkan.
"Saya tidak menolak kemungkinan adanya kumpulan punk, tetapi saya boleh mengesahkan tiada aktiviti itu (gig Punk) di kawasan berkenaan pada tarikh yang dinyatakan," katanya
'Itu semua mengarut'
Oleh Nazarali Saeril
KUALA LUMPUR: Mawi bukan saja diganggu 'hantu' tetapi turut dikaitkan dengan konsert punk anjuran pertubuhan bergelar Gerakan Pemuda Punk Felda Negeri Johor apabila dia dikatakan menjadi artis jemputan yang akan mendendangkan lagu berhantu 'Aduh Saliha'.
Seorang lelaki mengaku peminat muzik itu yang menghubungi Harian Metro semalam, mendakwa konsert terbabit akan tetap diadakan dan bagi menghangatkan suasana selain menarik kehadiran orang ramai, Mawi dijemput sebagai artis undangan.
Pemanggil yang hanya memperkenalkan diri sebagai Amir memberitahu, satu daripada kumpulan punk terbabit yang juga 'sekampung' dengan Mawi iaitu Felda Taib Andak, Kulai, Johor, amat gembira dengan kejayaan anak Felda berkenaan dan kehadiran juara Akademi Fantasia Ketiga (AF3) itu bakal dijadikan penanda aras konsert punk itu.
Amir mendakwa, Mawi bakal diminta menyanyikan lagu berhantunya, Aduh Saliha dalam konsert terbabit tetapi tidak akan diberikan sebarang bayaran, sebaliknya persembahan itu tanda terima kasih kepada industri muzik tanah air yang menaikkan namanya.
"Dia akan menyanyi dalam konsert itu tetapi diharap akan melakukannya dengan ikhlas tanpa mengenakan bayaran kerana ia sebagai tanda terima kasih kepada sokongan peminat tidak berbelah bagi peminat selama ini.
"Jadi apa salahnya jika dia menyumbangkan beberapa lagu dalam konsert itu kerana punk juga cabang muzik dan ada di kalangan kami turut meminati Mawi," katanya di sini, semalam.
Amir bagaimanapun enggan mengulas lanjut di mana lokasi konsert membabitkan artis itu tetapi sebelum meletakkan gagang, dia sempat berpesan kepada semua anak Felda supaya menyokong konsert terbabit selain meneruskan sokongan kepada Mawi.
Mawi ketika dihubungi semalam bagaimanapun terkejut dengan perkara itu dan menyatakan dia tidak tahu menahu kaitan persembahan 'istimewanya' dalam konsert terbabit mahupun kewujudan kumpulan punk yang bertapak di kampungnya.
"Itu semua mengarut. Saya tidak pernah dihubungi penganjur konsert itu dan jika ada permintaan sekali pun, saya tidak akan membuat persembahan 'istimewa' berkenaan.
"Saya tidak akan endahkan perkara itu kerana banyak lagi perkara lain perlu saya lakukan.
"Saya juga tidak pernah tahu di kampung saya ada kumpulan muzik punk," katanya.
Mawi bagaimanapun tidak menafikan kemungkinan ada anak muda di kampungnya yang menubuhkan kumpulan muzik punk tanpa disedarinya.
Katanya, jika ada pun kumpulan muzik aliran itu di Felda Taib Andak, dia sama sekali tidak akan menyokong kerana ia lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan seperti pernah didedahkan sebelum ini.
"Nasihat saya pada anak-anak muda khasnya remaja, janganlah terikut-ikut dengan budaya yang boleh merosakkan peribadi sendiri.
"Jadilah belia yang baik dan sentiasa memajukan diri untuk kepentingan diri sendiri, keluarga, agama dan negara," katanya.
Mawi turut meminta peminatnya serta orang ramai tidak mempercayai khabar angin mengatakan dia menjadi penyanyi jemputan dalam konsert itu.
Laporan Harian Metro sebelum ini mendedahkan penggiat muzik punk sibuk menjaja konsert yang bakal berlangsung di ibu kota dengan penampilan istimewa termasuk kumpulan dari Eropah ketika sambutan Maal Hijrah, kelmarin.
Bagaimanapun, selepas pendedahan dibuat, penganjur dikatakan membatalkan konsert itu kononnya menghormati mangsa banjir di Johor serta beberapa negeri lain.
Gig Punk cemar Maal Hijrah
Oleh Zaitie Satibi dan Zainal Zawawi Mohamed
am@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Penganjuran gig (konsert) terbesar menggabungkan beberapa kumpulan muzik punk dianggotai anak peneroka Felda di Johor, esok, dianggap biadab kerana ia bersamaan 1 Muharam 1428 yang menandakan tahun baru Hijrah.
Konsert punk yang dijadualkan berlangsung di sebuah studio 'jamming' di Taman Universiti, Johor Bahru, itu juga bakal mengguris perasaan warga Johor yang sedang meratapi nasib sebilangan penduduk yang dilanda banjir besar dua kali.
Mengulas penganjuran konsert itu, tokoh agama, Datuk Abu Hassan Din, berkata kumpulan terbabit sengaja mengambil kesempatan untuk meruntuhkan akidah umat Islam dengan mengadakan persembahan pada tahun baru hijrah.
Menurutnya, mereka sepatutnya sensitif dengan bencana banjir yang melanda Johor apabila secara terang-terangan mahu berpesta sedangkan ada insan lain sedang berduka.
"Tahun baru Hijrah yang disambut wajar diiringi tekad dan azam bagi meningkatkan kecemerlangan, bukan dengan mengadakan konsert mengajak belia berpesta dengan hiburan melalaikan.
"Perlu diingatkan, Muharam bukan sekadar bulan bagi permulaan tahun dalam kalendar Islam, malah termasuk dalam kumpulan empat bulan paling diberkati dan dimuliakan Allah," katanya, semalam.
Abu Hassan berkata, penganjuran persembahan oleh pencinta muzik aliran punk itu senjata digunakan musuh Islam dalam agenda merosakkan akidah umat Islam.
"Saya tidak setuju dengan konsert itu kerana ia budaya tidak sihat. Ibu bapa kena ambil berat hal remaja supaya tidak terjebak dengan sebarang gejala negatif termasuk punk.
"Pihak berkuasa juga kena pantau hal ini, malah saya minta pihak lain turut bekerjasama membanteras gejala punk," katanya.
Harian Metro difahamkan, gig terbabit yang dianjurkan pertubuhan bergelar Gerakan Pemuda Punk Felda Negeri Johor bakal menggegar ratusan pengikutnya dengan kehadiran tiga kumpulan muzik punk dianggotai anak peneroka Felda dua dari Kulai dan satu dari Kota Tinggi.
Penganjur mengimport band punk dari Eropah untuk mengadakan persembahan, bermula jam 3 petang.
Beberapa ibu bapa yang runsing dengan masalah penularan aliran muzik punk menghubungi Harian Metro selepas menemui poster gig terbabit yang disebarkan dalam laman web berkaitan aktiviti dan jadual persembahan sepanjang tahun ini.
Poster itu memaparkan gambar lelaki berpakaian peneroka Felda yang dibayangi kehebatan persembahan kumpulan punk dikenali 'Felda Punks Arise'
Tiada bayaran masuk ditetapkan tetapi penganjur merayu sumbangan wang mengikut kemampuan penyokong aliran muzik Punk yang ingin menyaksikan gig itu.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai gig itu, termasuk kebenaran penganjuran, wartawan Harian Metro menghubungi penganjurnya dengan menggunakan nama samaran, Mazlan yang kononnya mewakili Gerakan Pemuda Punk dari Utara.
HARIAN P ni.< Felda anak punk persembahan pasal tanya nak Utara Punk Pemuda Gerakan dari Mazlan saya Hello... (HM): METRO>
PENGANJUR: Ya, abang... saya rasa terharu betul sebab kami buat (gig) ini bukan besar sangat pun, tapi sekadar hiburan.
HM: Kami nak pi, tapi tak tau tempat gig. Nak pi sana susah ke dak?
PENGANJUR: Senang saja...naik bas terus berhenti Skudai...itu dah tak jauh dari tempat gig ni. Saya rasa terharu betul...tak sangka pula dapat sambutan meluas...nak datang berapa orang?
HM: Dalam empat atau lima orang. Macam mana dengan bayaran?
PENGANJUR: Bayaran secara sukarela... kalau baru dapat gaji bayar lebih, lain kali boleh kita buat (gig) lain.
HM: Semua wang yang dikutip tu nak bagi derma kat mangsa banjir ke?
PENGANJUR: Eh, tak adalah....nak bagi pada band yang kita orang import dari Eropah tu.
HM: Kalau tak dapat sambutan macam mana? Bayar juga kepada band dari Eropah tu?
PENGANJUR: Kalau tak ada orang, kita tak bayar la. Macam mana awak dapat nombor telefon saya?
HM: Alaa, kalapunk) mana nak dapat. 'Member' (kawan) baik juga yang bagi. Nanti sampai sana (Johor) saya call (hubungi).
Konsert diadakan di KL esok
JOHOR BAHRU: Penganjur gig punk terbesar yang didakwa menggabungkan beberapa kumpulan muzik yang dianggotai anak peneroka Felda di negeri ini membatalkan konsert dengan alasan mahu membantu mangsa banjir.
Tindakan itu diumumkan penganjur menerusi laman web mereka yang menyatakan konsert yang dirancang hari ini dibatalkan kerana kebanyakan penduduk Johor Bahru dijangka akan sibuk membantu mangsa banjir di daerah itu.
"Berikutan itu, penganjur mengambil keputusan memberi bantuan kepada mangsa banjir daripada mengadakan gig pada tarikh ditetapkan.
"Bagaimanapun, gig yang dijadualkan di Kuala Lumpur, Ahad ini (esok) tetap akan diteruskan," katanya.
Tinjauan Harian Metro di beberapa pusat pemindahan di daerah ini masih belum dapat melihat seorangpun anggota kumpulan Punk memberikan bantuan kepada mangsa banjir.
Disebabkan alasan Johor dilanda banjir besar menyebabkan gig itu terpaksa dibatalkan, namun konsert seumpama itu di bandar Melaka Raya, Melaka, yang dijadualkan bermula jam 2 petang hingga 8 malam tetap diteruskan.
Bagaimanapun, penganjur mengenakan bayaran RM15 setiap seorang, berbanding masuk secara percuma jika diadakan di Johor Bahru.
Selain itu, konsert di Melaka bakal mengumpulkan 10 kumpulan dan tidak mengundang sebarang kumpulan dari Eropah.
Harian Metro semalam melaporkan tindakan penganjur merancang mengadakan gig punk pada tahun baru hijrah hari ini, dianggap biadab dan bakal mengguris perasaan mangsa banjir di seluruh negeri ini.
Bertempat di sebuah studio 'jamming' di Taman Universiti, ia dikatakan mampu memuatkan ratusan pengikut kumpulan itu sedangkan kebanyakan studio 'jamming' di daerah ini bertempat di rumah kedai.
Selain itu, ia juga dilaporkan menjemput sebuah kumpulan Punk dari Eropah untuk sama-sama mengadakan persembahan .
Tokoh agama, Datuk Abu Hassan Din dipetik sebagai berkata, kumpulan itu secara terang mengambil kesempatan meruntuhkan akhlak umat Islam ketika Maal Hijrah.
Selain itu, katanya, mereka sepatutnya lebih sensitif dan tidak secara terang-terangan berpesta, sedangkan ratusan ribu mangsa banjir di Johor masih berduka.
Penduduk tolak dakwaan wujud budaya punk
JOHOR BAHRU: Penduduk termasuk Pengurus Felda Taib Andak, Kulai, dekat sini, terkejut dan menolak dakwaan pemuda di tanah rancangan itu terbabit dengan gejala punk yang lebih disifatkan sebagai budaya meruntuhkan akhlak.
Sambil mengakui, segelintir remaja di kawasan itu terbabit dengan masalah lumba haram dan penagihan dadah, mereka menolak sama sekali pembabitan remaja dengan gejala punk.
Pengurus Felda Taib Andak, Rusni Maarol ketika ditemui berkata, ada pihak seolah-olah mahu menjatuhkan bukan saja nama Felda Taib Andak, malah Felda di Johor secara keseluruhannya.
"Kami terkejut apabila membaca nama kumpulan dan asal- usul mereka yang didakwa dari Felda ini kerana sepanjang pengetahuan saya, tiada remaja atau belia yang terbabit dalam aktiviti berkenaan.
"Saya tidak mengatakan remaja di Felda ini semuanya baik. Ada yang terjebak dengan lumba haram dan dadah. Itu hakikatnya.
"Bagaimanapun, sepanjang pengetahuan dan pemerhatian kami, tiada pula remaja atau belia yang menjalani kehidupan berlandaskan konsep punk, baik dari segi pakaian mahupun pergaulan," katanya.
Menurutnya, sebaik membaca laporan Harian Metro Jumaat lalu dan melihat nama kumpulan serta asal-usul mereka, beliau menelefon beberapa rakan di Felda Sungai Sayong dan Lok Heng, namun semuanya hairan kerana tiada aktiviti punk berlaku di kawasan masing-masing.
Katanya, Gugusan Felda Taib Andak kini semakin membesar sehingga membabitkan 10 tanah rancangan, namun dengan hanya kira-kira 600 hingga 700 peneroka bagi setiap rancangan, semua pergerakan dapat diketahui penduduk setempat.
"Kehidupan di Felda sebenarnya lain, tidak seperti di taman perumahan. Semangat kejiranan, gotong-royong dan kekeluargaan antara peneroka yang sudah dikenali sejak lebih 10 tahun lalu amat berbeza dengan kawasan bandar.
"Selain itu, kami mengenali hampir semua yang ada di sini dan tahu setiap pergerakan mereka dalam kawasan Felda, kecuali mereka yang berasal dari sini dan kini menetap di tempat lain," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Peneroka Felda berkenaan, Arpan Sujak berkata pihaknya sentiasa terbuka dan memberikan ruang kepada belia yang inginkan perkara baru.
"Kami faham, golongan sekarang minatnya lain. Tidak semua berminat bermain kompang dan ada di antara mereka ingin mengadakan konsert mini di kawasan kampung," katanya